| Mera Naam Joker: Syiah: Mazhab Atas Nostalgia Sejarah

Selasa, 04 September 2012

Syiah: Mazhab Atas Nostalgia Sejarah


Karbala, tempat suci bagi pengikut Syi'ah
Karbala dari pandangan udara
Artikel Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau. Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.
Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.
Emosi
Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.
Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum) yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.
Kekeliruan
Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.
Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka. Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.
Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.
Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.
Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah ‘Uthman.
Antaranya Uthman berkata:
“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.
Riwayat Sejarah
Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina ‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).
Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam mukadimahnya:
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).
Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).
Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).
Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah buku berjudulPertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.
Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal.
Comments
0 Comments