| Mera Naam Joker: Yahya Schroder: Meninggalkan Kemewahan Kerana Memilih Islam

Kamis, 15 Desember 2011

Yahya Schroder: Meninggalkan Kemewahan Kerana Memilih Islam


Bulan November tahun 2006, menjadi bulan bersejarah bagi remaja Jerman itu. Ini kerana pada usia 17 tahun, beliau mengucapkan dua kalimat syahadat dan menjadi seorang Muslim.

Beliau memilih nama Yahya Schroder selepas memeluk Islam dan remaja Jerman itu kini berhijrah ke Postdam untuk menjaga keimanannya.

Sebelum memeluk Islam, Yahya menetap dengan ibu dan ayah tirinya di sebuah perkampungan kecil di Jerman. Beliau tinggal di rumah yang besar dengan dilengkapi kolam renang yang besar. Di dalam biliknya mempunyai televisyen dan play station .Yahya juga tidak pernah menghadapi masalah kewangan. Seperti remaja yyang lain, Yahya sering melepak bersama teman-temannya, meminum arak dan melakukan perkara yang merosakkannya.

Tetapi semua kenikmatan dunia itu harus beliau tinggalkan ketika beliau memutuskan untuk memeluk Islam. Setelah menjadi seorang mualaf, Yahya memutuskan untuk tinggal bersama ayahnya yang telah memeluk Islam sebelumnya, di Postdam berhampiran kota Berlin. Yahya mengaku tidak berasa tenang ketika tinggal bersama dengan ibu dan ayah tirinya walaupun kaya dan mengecapi kehidupan yang mewah. 

"Saya mencari sesuatu di dalam hidup saya," katanya.

Yahya bersama rakan Muslimnya

Yahya mengenali komuniti Muslim di Postdam ketika berusia 16 tahun. Ayah kandungnya telah terlebih duhulu masuki Islam pada tahun 2001. Ketika itu, beliau sering melawat ayah kandungnya sebulan sekali dan sering mengikut ayahnya menghadiri perjumpaan dengan komuniti Muslim yang diadakan setiap hari Minggu.

Yahya amat tertarik dengan Islam dan ayahnya sedar akan perubahan anaknya itu. Ayahnya mengambil jalan tidak mahu membincangkan mengenai islam dengan anaknya ketika mereka sedang berdua-duaan. Ayah Yahya ingin anaknya itu belajar dari orang-orang yang mempunyai ilmu agama islam yang tinggi supaya Yahya memeluk Islam bukan sekadar ikut ikutan seperti yang dialami oleh ayahnya dahulu.

"Saya setuju dengan ayah dan saya mulai menghadiri perjumpaan setiap bulan dengan komuniti Muslim. Tetapi ketika itu terjadi peristiwa yang mengubah cara saya berfikir," ujar Yahya.

Beliau mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pergi berenang bersama komuniti Muslim. Ketika ia melompat ke dalam kolam renang, kepalanya terhantuk di dasar kolam renang dan tulang punggungnya patah. Ayahnya membawa Yahya ke hospital dan doktor mengatakan sesuatu yang membuat hatinya tidak tenteram.

"Punggung kamu mengalami patah tulang yang parah, satu pergerakan yang salah, boleh melumpuhkan kamu," kata doktor.

Yahya harus menjalani pembedahan. Sebelum masuk ke tempat pembedahan, rakan Yahya di dalam komuniti Muslim bernama Ahmir memberi semangat kepada yahya, "Yahya, sekarang engkau berada di tangan Allah. Ini seperti naik rollercoaster. Sekarang engkau sedang berada dalam puncak kenikmatan di dalam perjalanan sebuah rollercoaster dan percayalah pada Allah."

Pembedahan berlangsung selama lima jam dan Yahya tersedar selepas tiga hari kemudian. "Saya tidak dapat menggerakan tangan kanan saya, tapi saya merasakan ketenangan dan sangat bahagia. Saya berkata kepada doktor bahawa saya tidak kisah dengan tangan kanan saya. Saya sudah sangat bahagia kerana Allah telah memberikan peluang untuk saya hidup," kata Yahya. Doktor mengatakan Yahya harus dirawat di hospital selama beberapa bulan. Namun Yahya cuma berada dua minggu di dalam hospital tersebut, kerana beliau berlatih dengan tekun untuk pulih.

"Alhamdulillah saya cuma dua minggu di hospital. Sekarang saya sudah boleh menggerakan tangan kanan saya. Kemalangan itu banyak mengubah keperibadian saya," akui Yahya.

"Saya dapat rasakan, ketika Allah menginginkan sesuatu itu terjadi, hidup seseorang boleh berubah sepenuhnya tanpa tertangguh satu saat pun. Oleh sebab itu, saya lebih menghargai kehidupan dan mulai berfikir tentang kehidupan saya dan Islam, tapi waktu itu saya masih tinggal di sebuah perkampungan kecil," cerita Yahya.

Keinginan Yahya untuk menjadi seorang Muslim makin kuat, sehinggakan dia berani untuk meninggalkan keluarganya di perkampungan itu. 

Yahya berkata, "Saya meninggalkan ibu dan ayah tiri saya, meninggalkan gaya hidup saya yang mewah dan pergi ke Postdam, tinggal di apartmen kecil ayah kandung saya. Saya tak kekok untuk menggunakan dapur yang kecil. Saya juga cuma membawa sedikit pakaian, buku pelajaran dan beberapa CD."

"Kedengarannya seolah-olah saya kehilangan segalanya, tetapi saya sangat berasa tenang disini, sebahagia ketika saya kembali sihat dselepas kemalangan buruk itu," ujar Yahya.

Diejek Teman Sekolah

Sehari selepas hari pertamanya memasuki sekolah di Postdam, Yahya mengucapkan dua kalimat syahadat. Yahya menjalani kehidupan barunya sebagai seorang Muslim walaupun ramai yang mengejeknya di sekolah kerana Yahya seorang Muslim. Beberapa orang menganggapnya "gila" bahkan tidak percaya bahawa dirinya orang Jerman asli.

"Saya melihat perkara ini sebagai situasi yang biasa kerana maklumat yang mereka baca di media tentang Islam dan Muslim adalah bertentangan dengan Islam yang sebenarnya. Media masa sering memaparkan Islam sebagai pengganas, Osama bin Laden, jahat, dan sebagainya," tegas Yahya.

Sepuluh bulan selepas itu, situasi mula berubah. Yahya aktif berdakwah pada teman-teman sekelasnya dan dia telah mendapat sebuah bilik khas untuk solat, padahal cuma dia satu-satunya siswa Muslim di sekolahnya.

"Teman-teman sekelas mula berubah, yang dulunya menghina saya kerana memeluk Islam, sekarang ramai bertanya tentang Islam dan mereka mengakui Islam tidak sama dengan agama-agama lainnya.

Teman-teman sekolahnya menilai Muslim memiliki adab yang baik dalam berinteraksi antara sesama manusia, bebas dari tekanan geng geng seperti yang terjadi di sekolah mereka. Siswa-siswi di sekolah Yahya cenderung berkawan mengikut kumpulan atau membentuk ”geng” seperti geng hip hop, punk sampai kepada kelompok geng siswa yang hobinya berpesta. Setiap siswa berusaha keras untuk diterima menjadi anggota geng yang diminati.

Tetapi Yahya, dia boleh berkawan dengan sesiapa saja. "Saya tidak perlu mengenakan pakaian khusus agar diterima oleh mana-mana geng. Malah yang terjadi sebaliknya, geng-geng itu sering menjemput saya dan teman-teman Muslim saya ke pesta barbeque mereka," ceritanya.

"Yang istimewa dari semua ini adalah, mereka menghormati saya sebagai seorang Muslim. Mereka menyediakan makanan halal untuk saya dan mereka menggelar dua pesta barbeque, satu untuk mereka dan satu untuk kami yang Muslim. Masyarakat di sini mulai terbuka dengan Islam," sambung Yahya mengenang masa sekolahnya dulu.

Dia merasakan lebih mudah menjadi seorang mualaf daripada menjadi seorang yang memang dilahirkan Muslim. Beliau banyak melihat anak-anak muda Muslim yang ingin menjadi orang Jerman dan melihat Islam hanya sebagai tradisi. Anak-anak muda itu, kata Yahya, bersedia melepas 'tradisi' keislamannya supaya boleh diterima di tengah tengah masyarakat Jerman.

"Apa yang jelas, orang-orang Jerman tetap tidak mahu menerima mereka walaupun mereka melepaskan agama Islam," ujar Yahya.

Beliau mengakui, kehidupan seorang Muslim di Jerman tidak mudah kerana majoriti masyarakat Jerman buta tentang Islam. "Kalau mereka ditanya tentang Islam, mereka akan mengatakan sesuatu tentang Arab. Bagi mereka, pertanyaan itu seperti soalan matematik, Islam=Arab". Padahal islam merangkumi pelbagai bangsa yang besar," jelas Yahya.
Anda mungkin juga mem
Comments
0 Comments