Tarawih dan Ibadah Ramadlan
Posted by
orgawam pada Agustus 22, 2008
Puasa dan Ibadah Ramadlan
Petunjuk Dari Al-Quran
*
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
(Maksud ayat 183 Surah al-Baqarah)
*
(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Bulan Ramadhan, bulan yang
padanya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk dan
penjelasan-penjelasan mengenai petinjuk itu dan perbezaan (antara yang
hak dan yang batil). Kerana itu sesiapa antara kamu hadir (dinegeri
tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah berpuasa pada bulan
itu.” (Maksud ayat 185 Surah al-Baqarah)
*
Dan, seterusnya Allah s.w.t. memuji terhadap sahabat-sahabat Baginda
Rasulullah s.a.w. yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan malam
(khususnya malam-malam bulan Ramadhan): “Mereka sedikit sekali tidur
pada waktu malam, Dan pada akhir-akhir malam mereka memohon ampun
(kepada Allah s.w.t.).” (Maksud ayat 17-18 Surah al-Zariyat)
Hadits Rasulullah s.a.w.
*
Maksudnya: “Sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh
keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharapkan pahalanya, nescaya akan
diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim) { Dengan penuh keimanan maksudnya yakin dengan janji-janji Allah
s.w.t. dan melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t. Dengan penuh
pengharapan ialah semata-mata mencari pahala daripada sisi Allah s.w.t.
dan bukan bertujuan untuk mendapatkan dunia}
*
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mewajibkan puasa Ramadhan
atas kamu sekelian dan aku mensunnahkan atas kamu agar beribadat pada
bulan Ramadhan. Jesteru sesiapa yang berpuasa dan beribadah pada bulan
Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka
dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan oleh Allah s.w.t.”
(Riwayat Ashab al-Sunan)
*
Maksudnya: “Telah datang bulan Ramadhan yang penuh berkat kepadamu.
Dengannya, Allah (s.w.t.) melimpahkan rahmat-Nya, mengampunkan dosa dan
mengabulkan doa. Pada bulan itu Allah (s.w.t.) melihat perlumbaan dalam
mengerjakan ibadah dan membangga-banggakan kamu dihadapan para malaikat.
Oleh kerana itu, tunjukkanlah kepada-Nya kebaikan-kebaikan dirimu. Maka
sesungguhnya orang-orang yang celaka adalah mereka yang tidak
mendapatkan rahmat Allah Azza wa Jalla pada bulan Ramadhan.” (Riwayat
al-Nasai)
Shalat Tarawih
Hukum dan keutamaannya
Solat Tarawih adalah solat yang dikerjakan pada malam-malam dalam
bulan Ramadhan al-Mubarak dan waktu mengerjakannya adalah selepas solat
Isyak dan sebelum solat Witir. Solat Tarawih adalah salah satu daripada
ibadah-ibadah dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat dan paling besar
kesannya dihati kaum Muslimin. Ia juga mempunyai darjat dan keutamaan
yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beribadat pada
malam-malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan akan
pahala deripada Allah (s.w.t.), nescaya dosa-dosanya yang telah lalu
akan diampuni oleh Allah (s.w.t.).” (Riwayat al-Bukhari)
Maksud daripada Hadith tersebut ialah bahawa setiap orang yang
menyemarakkan malam-malam bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, zikir
dan membaca Al-Quran dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan
mengharap akan pahalanya, maka Allah s.w.t. akan mengampunkan
dosa-dosanya pada masa silam, selama mana dosa-dosa itu adalah dosa-dosa
kecil. Adapun mengenai dosa-dosa besar, maka wajib melalui jalan Taubat
Nasuha. Demikianlah pendapat para Ulama Fekah.
Orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih
Orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih menurut Ibnu Qudamah
dalam kitabnya yang lengkap “Al-Mughni” berkata: “Solat Tarawih adalah
sunnat muakkad. Orang yang pertama kali mengerjakannya adalah Rasulullah
s.a.w.. Hal ini berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah yang bermaksud:
“Rasulullah s.a.w. menyemarakkan ibadah pada malam hari bulan
Ramadhan dengan tidak mewajbkan kepada umatnya. Baginda s.a.w. bersabda
yang bermaksud: “Sesiapa beribadat pada malam hari bulan Ramadhan dengan
penuh keimanan kepada Allah (s.w.t.) dan mengarapkan pahala
daripada-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Imam Muslim)
Saiyidatina Aisyah r.a telah meriwayatkan sebuah hadith yang bermaksud:
“Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para
sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat
lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu
mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad
s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah
paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku melihat apa
yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk
keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau-
kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu.” (Riwayat
Muslim)
Abu Hurairah r.a. meriwayat sebuah hadith yang bermaksud:
“Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Kebetulan pada malam bulan
Ramadhan itu para sahabat mengerjakan solat ditepi-tepi masjid. Baginda
s.a.w. bertanya: ‘Siapa mereka itu?’ Ada yang menjawab” ‘Mereka adalah
para sahabat yang tidak dapat membaca al-Quran, tetapi Ubai bin Kaab
solat ditengah-tengah mereka dan mereka ikut solat bersamanya.’ Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda: ‘Mereka telah mendapatkan pahala dan
sebaik-baik amalan adalah apa yng mereka lakukan itu.” (Riwayat Abu
Dawud)
Adapun panggilan solat Tarawih adalah dinisbahkan kepada Khalifah
‘Umar ibnu al-Khattab r.a. kerana beliaulah yang mengumpulkan orang
ramai untuk melakukan solat pada malam bulan ramadhan itu dibawah
pimpinan seorang imam iaitu Ubai bin Ka’ab. Imam al-Bukhari meriwayatkan
daripada Abdurrahman bin Abdul-Qari, beliau berkata:
“Saya keluar bersama Umar ibnu al-Khattab pada suatu malam bulan
Ramadhan. Kebetulan pada saat itu orang ramai sedang mengerjakan solat
secara berjama’ah dalam beberapa kelompok. Ada pula seorang yang
bersolat secara bersendirian dan ada pula yang solat keseorangan tetapi
kemudian diikuti oleh orang lain sehingga menjadi suatu kumpulan.
Melihat keadaan itu Umar berkata: ‘Saya berpendapat, sekiranya mereka
ini dihimpunkan dibawah satu imam, nescaya ia adalah lebih baik.”
Kemudian Umar melaksanakan pendapatnya dan menghimpunkan orang ramai
untuk mengerjakan solat dibawah seorang imam iaitu Ubai bin Ka’ab.”
Seterusnya Abdurrahman bin Abdul Qari menerangkan bahawa pada malam
hari yang lain, dia keluarlagi dengan Umar dan pada ketika itu umat
Islam mengerjakan solat dibelakang seorang qari. Maka Umar berkata:
“Sebaik-baik bid’ah adalah ini. Adapun orang yang tidur pada awal malam
seraya bermaksud akan mengerjakan solat lail (Tarawih) pada malam hari,
yang demikian itu adalah lebih utama daripada orang yang mengerjakannya
pada awal malam. Akan tetapi umat Islam mengerjakan pada awal malam.”
(Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari)
Berdasarkan pada keterangan hadith-hadith sohih diatas, maka jelaslah
bahawa orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih dalam kaitannya
dengan ibadah pada bulan Ramadhan adalah junjungan Agung kita Nabi
Muhammad s.a.w. .
Baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan bersama para sahabat tiga atau
empat malam. Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar untuk
mengerjakan bersama para sahabat lagi kerana Nabi Muhammad s.a.w.
khuatir solat Tarawih dianggap wajib oleh umatnya. Dalam hal ini adalah
sebagai rahmat dan tanda sangat sayang kepada umatnya.
Keterangan yang lebih jelas lagi disebutkan oleh al-Bukahri dan
Muslim maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. keluar pada waktu
tengah malam pada bulan Ramadhan kemudian solat dimasjid. Beberapa orang
mengikuti solat Baginda Rasulullah s.a.w.. Pada sebelah paginya mereka
menceritakan perkara tersebut kepada teman-teman mereka.
Maka pada malam hari berikutnya para sahabat yang berhimpun lebih
ramai lagi. Pada malam yang kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. keluar untuk
mengerjakan solat dan para sahabat pun mengikuti solatnya. Pada sebelah
paginya para sahabat menyebut-nyebut perkara itu, maka pada malam ketiga
orang-orang yang berhimpun dimasjid bertambah ramai lagi. Nabi Muhammad
s.a.w. keluar kemasjid mengerjakan solat pada malam ketiga itu dan para
sahabat mengikutinya.
Kemudian pada malam yang keempat, masjid tidak lagi muat untuk
menampung orang ramai yang datang berhimpun tetapi Nabi Muhammad s.a.w.
tidak keluar kemasjid. Beberapa orang sahabat ada yang melaungkan azan
“al-solah! al-solah!”, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar juga.
Apabila masuk waktu subuh, barulah Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid.
Setelah selesai solat Subuh, Nabi Muhammad s.a.w. menghadap para
sahabat, membaca syahadat dan kemudian bersabda: ‘Sesungguhnya aku
bukannya tidak tahu bagaimana keadaan kamu malam tadi, akan tetapi aku
khuatir kalau-kalau kamu menganggap bahawa hal ini (solat malam
Ramadhan) diwajibkan atas kamu, maka kamu tidak mampu mengerjakannya.’
Dalam riwayat yang lain disebutkan: “Sehingga Nabi Muhammad s.a.w. wafat keadaan masih tetap seperti itu.”
Mengapa disebut solat Tarawih
Solat pada malam bulan Ramadhan itu disebut ‘Tarawih’ kerana solatnya
panjang, raka’atnya banyak dan orang yang melakukannya beristirahat pada
setiap selesai menunaikan empat raka’at sebelum menyambungnya lagi.
Oleh kerana adanya rehat maka inilah disebut “Tarawih”.
Ibnu Manzur dalam kitab ‘Lisanul Arabi’ menerangkan bahawa
‘Altarawih’ adalah bentuk jamak daripada ‘Tarwihah’ adalah isim marrah
(Isim yang menunjukkan makna satu kali) daripada ‘Ar-rahah’.
Jadi makna ‘Tarwihah’ itu adalah satu kali istirehat. Hal ini sama
dengan kata ‘Taslimah’ (satu kali salam) yang berasal daripada perkataan
‘Assalam’. Disebut ‘Tarawih’ kerana orang yang melakukannya mengambil
beberapa kali istirehat pada setiap kali selesai mengerjakan solat empat
raka’at, kemudian dia menerangkan pula bahawa ‘Ar-rahah’ itu ertinya
lega atau segar adalah lawan daripada kata ‘at-ta’ab’ yang bererti
penat.
Didalam sebuah hadith ada diterangkan bahawa apabila masuk waktu
solat,Nabi Muhammad s.a.w. berkata pada bilal: “Marilah kita
beristirehat dengan solat.’
Maksudnya ialah, azanlah untuk solat, wahai bilal! Maka kita akan
beristirehat dengan solat itu, Istirehat Nabi Muhammad s.a.w. menerusi
solat kerana didalamnya sebagai munajat kepada Allah s.w.t.. Hal ini
sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Hatiku dan
jiwaku menjadi tenteram ketika dalam solat.”
Dengan demikian solat Tarawih adalah sunnat yang dilaksanakan dalam
kaitannya dengan ibadah pada malam-malam bulan Ramadhan al-Mubarak
sebagaimana yang akan diterangkan menerusi hadith-hadith dalam bab
seterusnya.
Bilangan raka’at solat Tarawih
Solat Tarawih adalah termasuk solat sunnat muakkad berdasarkan
hadith-hadith yang telah disebutkan tadi. Bilangan raka’atnya berjumlah
20 raka’at tidak termasuk solat witir. Jika dimasukkan solat witir maka
manjadi 23 raka’at. Demikian berdasarkan pada sunnah yang telah berlaku
dan berdasarkan pada sunnah umat Islam, sama ada daripada golongan ulama
Salaf maupun Khalaf sejak zaman Khalifah Umar Ibnu al- Khattab r.a.
sehinggalah kezaman kita sekarang.
Tidak seorang pun antara Imam-imam Mazhab yang empat, ahli fekah yang
mujtahid memperselisihkannya kecuali ada sati riwayat saja yang
menerangkan iaitu Imam Darul Hijrah (Imam Malik bin Anas) yang menambah
sehingga 30 raka’at.
Demikian pula dalam riwayat yang kedua dari Imam Malik yang
berdasarkan pada amalam penduduk Madinah bersumberkan dari Nafi’ yang
berikut: “Saya menjumpai umat Islam (Madinah) mengerjakan solat Tarawih
39 raka’at bersama witirnya tiga raka’at.”
Akan tetapi menurut riwayat yang masyhur daripada Imam Malik dan
bahkan riwayat yang amshyur ini sesuai dengan pendapat jumhur ulama
daripada kalangan Syafi’i, Hambali dan Hanafi mengatakan bahawa solat
Tarawih itu berjumlah 20 raka’at. Oleh kerana itu, berdasarkan pada
riwayat yang mashyur ini, maka telah menjadi kesepekatan antara
Imam-imam mazhab yang empat. Semoga Allah s.w.t. melindungi orang-orang
Mukmin daripada permusuhan yang membinasakan.
Dalil-dalil Para Mujtahidin
*
Para Imam Mujtahid menetapkan bahawa solat Tarawih berjumlah 20
raka’at berdasarkan hadith riwayat al-Baihaqi dan riwayat lain dengan
sanad yang sorih lagi sohih daripada Saib bin Ziyad, yakni seorang
sahabat yang terkenal. Saib berkata: “Pada zaman Umar ibnu al-Khattab
r.a. umat Islam mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak
20 raka’at.”
*
Mereka berhujah juga dengan hadith riwayat Imam Malik dalam kitab
Al-Muwatta’ dan riwayat al-Baihaqi daripada Yazid bin Rauman. Yazid bin
Rauman berkata: “Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai
mengerjakan solat Tarawih sebanyak 23 raka’at.” Yakni, 20 raka’at
Tarawih dan 3 Raka’at Witir.
*
Mereka juga berhujah dengan hadith yang diriwayatkan daripada
al-Hasan yang mengatakan bahawa Umar r.a. telah menghimpun orang ramai
untuk mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Ka’ab sebagai Imamnya dengan
mengerjakan solat Tarawih 20 raka’at. Ubai bin Kh’ab tidak membaca
qunut bersama mereka kecuali pada malam separuh kedua daripada bulan
Ramadhan. Apabila masuk separuh ketiga yang akhir daripada bulan
Ramadhan, Ubai bin Ka’ab menghilang, yakni dia mengerjakan solat
dirumahnya sendiri, lalu jama’ah pun berkata: “Ubai telah lari.”
Ibnu Qudamah menceritakan didalam kitab Al-Mughni bahawa telah
terjadi ijma atas bilangan solat Tarawih iaitu 20 raka’at. Dan
diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa bilangan raka’at Tarawih itu 36
raka’at. Dia berkata: “Solat pada malam-malam bulan Ramadhan adalah 20
raka’at. Ia adalah sunnat muakkad dan orang yang mula-mula
mengerjakannya adalah Nabi Muhammad s.a.w. Adapun nama Tarawih itu
dinisbahkan kepada Umar ibnu al-Khattab r.a. Ini kerana Umar menghimpun
umat Islam untuk mengerjakan solat Tarawih secara jemaah dibelakang Ubai
bin Ka’ab yang bertindak sebagai imam.”
Telah diriwayatkan oleh para ahli hadith bahawa pada suatu malam
dalam bulan Ramadhan, Umar ibnu al-Khattab keluar kemasjid, kebetulan
ketika itu umat Islam solat dimasjid sendiri-sendiri. Lalu Umar berkata:
“Seabiknya aku himpunkan mereka dibawah pimpinan seorang ahli qiraat.”
Maka beliau pun mengumpulkan umat Islam dan solat dibelakang Ubai bin
Ka’ab. Kemudian pada malam berikutnya dia keluar lagi dan menyaksikan
orang ramai mengerjakan solat dibelakang imam. Maka berkatalah Umar ibnu
al-Khattab: “Sebaik-baik bida’ah adalah ini.”
Seterusnya Ibnu Qudamah menjelaskan bahawa yang dipilih oleh Imam
Ahmad bin Hanbal adalah 20 raka’at. Demikian juga 20 raka’at ini dipilih
oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan al-Syafi’i, sedangkan Imam Malik
memilih 36 raka’at dengan menyandarkan pada amalan penduduk Madinah dan
bagi kami, sesungguhnya Umar ibnu al-Khattab ketika mengumpulkan orang
ramai mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Ka’ab sebanyak 20 raka’at.
Imam Malik meriwayatkan dengan sanad dari Yazid bin Abdurrahman:
“Umat Islam pada zaman Umar mengerjakan qiyamullail sebanyak 23
raka’at.”
Diriwayatkan daripada Ali k.w. bahawa beliau telah menyuruh seseorang
untuk menjadi imam Tarawih pada bulan Ramadhan dan mengerjakan 20
raka’at. Ini adalah seperti ijma’. Seterusnya Ibnu Qudamah berkata:
“Seandainya seluruh penduduk Madinah mengerjakan 36 raka’at, nescaya
bilangan raka’at yang dikerjakan oleh Umar ibnu al-Khattab dan telah
diijma’kan oleh para sahabat yang lain ketika itu lebih utama untuk
diikuti. Kerana sesungguhnya penduduk Madinah mengerjakan bilangan
raka’at sedemikian itu hanya kerana mereka ingin menyemai amalan
penduduk Makkah bertawaf tujuh kali setiap selesai dua kali salam (empat
raka’at). Oleh sebab itu penduduk Madinah menggantikan tujuh kali tawaf
tadi dengan empat raka’at. Namun demikian, apa yang telah ditetapkan
oleh para sabahat Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih utama untuk
diikuti.”
Diriwayatjan juga Ali k.w. mengelilingi masjid-masjid pada bulan
Ramadhan dengan membawa lampu sambil mengucapkan kata-kata yang
bermaksud: “Semoga Allah s.w.t. menerangi kubur Umar sebagaimana dia
telah menerangi masjid-masjid kami.”
Berhubung dengan ayat-ayat yang dibaca dalam solat Tarawih, Imam
Ahmad berkata: “Seseorang yang menjadi imam solat Tarawih hendaklah
membaca ayat-ayat yang dirasakan dapat meringankan makmumnya dan bukan
yang memberat-beratkan mereka. Jadi bacaan ayat-ayatnya adalah yang
meringankan bagi makmumnya.” Al-Qadhi berpendapat bahawa bacaan ayat
suci al-Quran itu sunnat khatam dalam satu bulan agar dapat didengar
oleh semua jama’ah dan hendaknya jangan menambah daripada satu kali
khatam itu kerana khuatir memberatkan kepada makmum yang solat
dibelakang.
Kami berpendapat bahawa yang masyhur dalam Mazhab Maliki adalah 20
raka’at berdasarkan bahawa inilah imam-imam mujtahid berijma atas
keutamaan mengerjakan 20 raka’at.
Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya ‘Aqrabul Masalik’ala Mazhab al-Imam
Malik’ Juzuk 1:552, beliau menulis: “bahawa solat Tarawih itu 20
raka’at dilaksanakn selepas solat Isyak dan salam setiap dua raka’at
selain witir. Didalam Tarawih itu disunnatkan dikerjakan dirumah jika
masjid telah penuh dengan jama’ah yang mendirikan solat Tarawih. Akan
tetapi jika amsjid kosong daripada solat Tarawih maka yang lebih utama
adalah masjid dengan berjama’ah.”
Begitu juga Imam Syafi’i dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa
solat Tarawih itu berjumlah 20 raka’at berdasarkan ijma para sahabat
pada zaman Khalifah Umar al-Faruq. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan:
“Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Ka’ab bahawa beliau solat
Tarawih dengan 20 raka’at bersama umat Islam tanpa ada perselisihan
antara para sahabat.”
Didalam kitab ‘Al-Mukhtasor’ yang disusun oleh Imam Al-Muzani
disebutkan bahawa Imam Syafi’i berkata: Aku melihat orang ramai
diMadinah mengerjakan solat Tarawih 39 raka’at tetapi yang lebih aku
sukai adalah yang 20 raka’at kerana ia yang diriwayatkan daripada Umar.
Demikian juga diMakkah, umat Islam mengerjakan solat Tarawih 20 raka’at
dan mengerjakan solat Witir 3 raka’at.”
Penjelasan Imam Al-Turmuzi
Imam al-Turmuzi didalam kitab hadithnya yang bertajuk ‘Sunan Al-Turmuzi’
menerangkan : “Majoriti ahli ilmu mengerjakan solat Tarawih berdasarkan
kepada riwayat daripada Umar, Ali dan sahabat-sahabat Nabi Muhammad
s.a.w. yang lain, iaitu 20 raka’at. Bilangan ini juga yang dipegangi
oleh Imam Sufyan al-Thauri, Ibnu al-mubarak dan al-Syafi’i. Syafi’i
berkata: “Aku menjumpai umat Islam dinegeri aku Makkah mengerjakan solat
Tarawih 20 raka’at.”
Ibnu Rusyd dalam kitab ‘Bidayah al-Mujtahid’ berkata: “Imam Malik
dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’i dan Imam
Ahmad memilih 20 raka’at selain witir.”
Imam Nawawi menerangkan: “Mazhab kami menetapkan bahawa solat Tarawih
berjumlah 20 raka’at dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri
daripada lima “tarwihat” (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada
empat raka’at dengan terdiri dua salam.”
Demikian juga dengan pendapat Imam Abu Hanifah serta murid-muridnya,
dan juga Imam Ahmad, Abu Daqud dan juga Qadhi ‘Iyadh yang diambilnya
daripada jumhul ulama. Imam Malik sendiri berkata: “Solat Tarawih
terdiri daripada 9 tarwihat (istirahat) yang jumlahnya 36 raka’at selain
witir.”
Seterusnya Imam Nawawi berkata: “Hujah mazhab kami berdasarkan
keterangan yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dengan sanadnya yang
sohih daripada al-Saib bin Yazid al-Sahabi r.a., beliau berkata: ‘Umat I
slam pada zaman Khalifah Umar ibnu al-Khattab mengerjakan solat Tarawih
20 raka’at dalam bulan Ramadhan, sedangkan pada zaman Khalifah Usman
mereka mengerjakannya 200 (dua ratus) raka’at sehingga mereka bersandar
pada tongkat-tongkat mereka kerana terlalu letihnya berdiri.”
Yazid bin Rauman berkata: ” Umat Islam pada zaman Khalifah Umar ibnu
al-Khattab r.a. mengerjakan Qiyam Ramadhan dengan solat 23 raka’at
(Tarawih dan Witir).” (Riwayat Imam Malik dalam ‘Al-Muwatta’)
Akan tetapi al-Baihaqi mengatakan bahwa hadith tersebut diatas adalah
musral, sebab Yazid bin Rauman tidak bertemu dengan Umar ibnu
al-Khattab. Seterusnya al-Baihaqi mengatakan bahawa dengan berpandukan
kepada hadith-hadith yang diterangkan tadi, umat Islam mengerjakan solat
Tarawih 20 raka’at dan Witir tiga raka’at. Al-Baihaqi meriwayatkan juga
daripada Ali k.w. bahawa solat Tarawih 20 raka’at.
Imam Ibnu Taimiyah menerangkan dalam kitab ‘Al-Fatawa’ : “Benar
bahawa Ubai bin Ka’ab mengerjakan solat pada bulan Ramadhan bersama umat
Islam sebanyak 20 raka’at dan Witir tiga raka’at. Jadi para ulama
berpendapat bahawa yang demikian itu ditengah-tengah para sahabat
Muhajirin dan para sahabat Ansar dan tidak ada seorang pun yang
mengingkarinya (menentangnya).”
Didalam kitab “majmu’ah al-Fatawa al-Najdiyah’ disebut bahawa Sheikh
Abdullah bin Abdul Wahhab memberikan jawapan tentang bilangan raka’at
Tarawih: “Bahawa Umar r.a. ketika mengumpulkan umat Islam yang diimamkan
oleh Ubai bin Ka’ab, bilangan raka’atnya adalah 20 raka’at.”
Demikianlah keterangan-keterangan daripada para ulama pimpinan Islam
sama ada daripada golongan Salaf maupun Khalaf yang tidak dapat
diragukan lagi kebenarannya. Jelaslah bahawa solat Tarawih itu 20
raka’at yang dikerjakan oleh Umat Islam sekarang ini adalah amalan yang
benar, yang tidak dapat disangkal lagi.
Perlu diketahui bahawa 20 raka’at inilah yang dikuatkan oleh amalan
para sabahat Radiallahu’anhum dan diijmakan oleh imam-imam mujtadij
iaitu imam mazhab yang empat. Mereka semua adalah lambang hidayah dan
merupakan pancaran ilmu setiap masa dan setiap zaman. Bilangan 20
rakat’at inilah yang telah diperintahkan oleh Umar al-Faruq r.a. yang
mana Allah s.w.t. telah menjadikan kebenaran pada lisan dan didalam
hatinya sebagaimana yang diterangkan didalam hadith-hadith yang sohih.
Ikutan kita dua masjid yang mulia
Ikutan kita kaum Muslimin ialah dua buah masjid yang mulia. Yang pertama
Masjidil haram (di Makkah) yang telah dijadikan sebagai Qiblat bagi
masjid-masjid umat Islam, sama ada yang ditimur atau dibarat. Dalam hal
ini Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah)
bagi manusia, ialah Baitullah diBakkah (Makkah) yang diberkati dan
menjadi petunjuk bagi semua manusia.” (Surah Ali Imran:96)
Yang kedua ialah Masjid Nabawi (di Madinnah) yang didirikan atas
dasar takwa dan Allah s.w.t. telah memuji penghuninya sebagaimana
firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa, sejak hari
pertama adalah lebih patut kamu mengerjakan solat didalamnya. Didalamnya
ada orang-orang yang membersihkan diri dan Allah menyukai orang-orang
yang suci.” (Surah al-Taubah: 108)
Sumber:Amalan Penting Dalam Islam, Siri Bimbingan Mukmin (Safwan Fathy, Haji Suhaimee Yassin & Mohammad zain)
.
Wallahu a’lam
.
Sumber:
http://tanbihul_ghafilin.tripod.com